Tuesday, November 18, 2008

ISU PENGKID DAN PONDAN

Pengkid, perlakuan wanita menyamai lelaki dianggap sebagai kebiasaan dan satu trend oleh sesetengah pihak. Apa yang paling bahaya apabila mereka menganggap ia tidak salah kerana kumpulan berkenaan tidak memahami perkara yang tersirat dan mempertikaikan tindakan fatwa yang dibuat. Isu ini timbul kerana ia menyentuh dan membawa kepada gejala yang lebih parah, bermula perlakuan sumbang sebelum menular berlakunya jenayah seksual yang berleluasa khususnya di kalangan generasi muda.

Majlis Fatwa Kebangsaan, mengharamkan perlakuan pengkid pada 23 Oktober lalu bagi membangkitkan kesedaran masyarakat bahawa pangkid adalah satu gejala yang boleh meruntuhkan institusi keluarga serta mengancam keselamatan sosial masyarakat.

Kumpulan Katagender dan Food-not-Bombs yang mengadakan demonstrasi di KLCC bagi membantah pengharaman perlakuan pengkid merupakan satu tindakan yang kurang bijak. Kita harus ingat setiap fatwa atau undang-undang yang dibuat bergantung kepada proses kajian dan penyelidikan oleh barisan pakar undang-undang termasuk mufti, serta mereka yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja. Oleh yang demikian, kita perlu menyedari bahawa fatwa yang dikeluarkan tidak semestinya hukum tetapi lebih kepada satu nasihat bagi menjamin keharmonian dan kesejahteraan sosial rakyat Malaysia.

Saya percaya ramai rakyat Malaysia yang melihat isu pengkid dan isu pondan atau mak nyah sebagai isu yang relatif dan tidak boleh diasingkan. Dengan itu, kita boleh mengharapkan agar pihak berkuasa termasuk Majlis Fatwa Kebangsaan mengambil tindakan yang serupa dan lebih tegas dalam menangani kedua-dua isu ini.

No comments: