Tuesday, November 18, 2008

JPA - CUEPACS Perlu Bincang PTK

PTK ialah komponen Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang diperkenalkan pada 1 November 2002. Ia merupakan satu daripada mekanisme yang penting bagi menentukan kemampuan pegawai menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan sempurna serta menilai prestasi kerja termasuk menentukan kewajaran kenaikan pangkat seseorang kakitangan awam. Lantaran kita berpendapat bahawa cadangan CUEPACS agar JPA mansuhkan terus PTK atau memulaukannya tahun depan agak kurang bijak, melainkan segala saluran untuk merungkai masalah itu menemui jalan buntu.

Kita sangat menghargai usaha CUEPACS sudah membangkitkan perkara ini beberapa kali sebelum ini dan pihak JPA juga sudah melakukan beberapa penambahbaikan demi kebaikan anggota sektor awam. Baru-baru ini Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, menegaskan kerajaan tidak akan tunduk dengan desakan CUEPACS untuk memansuhkan PTK tetapi sentiasa sedia membuka pintu rundingan bagi sebarang usaha memperbaiki sistem peperiksaan itu yang bertujuan untuk menilai prestasi kerja kakitangan awam.

Berdasarkan hakikat itu, CUEPACS dan JPA perlu mengadakan perbincangan lanjut secara telus dan ikhlas bagi mewujudkan sistem PTK yang lebih komprehensif serta menjurus kepada bidang kerjaya masing-masing. Ini amat penting bagi memberi kepuasan kepada seluruh kakitangan awam untuk menikmati kenaikan gaji atau pangkat secara lebih adil dan saksama selain menjamin kecemerlangan Perkhidmatan Awam Malaysia.

No comments: