Monday, August 9, 2010

GURU DIBENARKAN BERPOLITIK

Pegawai Pendidikan siswazah Gred DG41-48 dibenarkan melibatkan diri secara aktif dalam politik mulai 01 Ogos 2010. Untuk itu, pindaan Peraturan 21 Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan & Tatatertib) 1993 perlu diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk membolehkan pegawai awam kumpulan Profesional dan Pengurusan bergiat aktif dalam politik.

Menurut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan langkah itu berlandaskan hakikat bahawa guru suatu masa dahulu memainkan peranan penting dalam memimpin masyarakat dalam senario politik negara. Namun mereka yang dibenarkan terlibat dalam politik kelak hendaklah mematuhi sepenuhnya Peraturan-peraturan Pegawai Awam selain memastikan batasan tugas serta fokus utama mereka sebagai pegawai perkhidmatan pendidikan tidak terjejas dengan penglibatan mereka dalam politik.

Peraturan baru ini merupakan ruang dan peluang yang baik untuk pegawai awam gred 41 ke atas untuk menyumbangkan bakti dan idea bagi mengukuh dan memantapkan politik demi rakyat dan negara. Namun, jika guru ingin melibatkan diri sepenuh masa dalam politik, maka mereka wajar berhenti menjadi guru kerana... "GURU dibayar untuk tugas utama mereka iaitu MENGAJAR dan MENDIDIK PELAJAR".