Thursday, May 7, 2009

RH SEDAU, JAGOI PAKAN, TERBAKAR

Rh. Sedau, Jagoi, Pakan, sebuah rumah panjang 27 pintu terletak 1 km dari Pekan Pakan terbakar jam 11.30 pagi pada 25 April, 2009 yang lalu. Api meranapkan keseluruhan rumah panjang yang diperbuat daripada kayu kurang dari setengah jam menyebabkan kebanyakan daripada 250 penghuninya kehilangan tempat tinggal dan harta benda.

Di antara barangan yang tidak dapat diselamatkan dalam kejadian tersebut ialah sebuah van dan kereta Proton Iswara, 5 buah motosikal, 3 batang senapang patah, beberapa buah Injin sangkut, lada, padi dan pelbagai dokumen peribadi. Tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan walaupun beberapa penduduk mengalami cedera ringan semasa cuba menyelamatkan harta mereka.

Orang ramai termasuk anggota Bomba & Penyelamat yang masih cuba memadamkan api serta membantu mangsa menyelamatkan barang-barang.


Tapak rumah panjang yang tinggal selepas kebakaran

YB Dato Sri William Mawan Ikom, Menteri Pembangunan Sosial dan Urbanisasi Sarawak, yang juga Wakil Rakyat Kawasan N.41 Pakan, bersama Pegawai Daerah Pakan serta Ketua-ketua Jabatan dan Ketua Masyarakat tempatan telah bergegas ke tempat kejadian dan menghulurkan bantuan sejumlah RM30 ribu untuk membantu mangsa. YB Dato' Joseph Salang Gandum, Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Kawasan Julau juga melawat mangsa dan menyumbang bantuan sebanyak RM200.00 untuk setiap keluarga.


Pelbagai bantuan seperti wang, bahan makanan, pakaian, selimut, alat dapur dan lain-lain turut disumbangkan oleh rakyat tempatan dan juga pihak luar. Segala sumbangan dari semua pihak amatlah dialu-alukan bagi meringankan beban dan kesedihan yang dialami oleh penduduk rumah panjang tersebut.