Wednesday, July 22, 2009

SKIM 1SARAWAK 1HARGA DILANCARKAN

“Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM56.4 juta untuk Skim 1Sarawak 1Harga iaitu sebanyak RM2.4 juta bagi penyeragaman harga untuk pengedaran barang keperluan seluruh Sarawak dengan membabitkan 59 kawasan, manakala RM24 juta untuk LPG dan RM30 juta lagi untuk Minyak Petrol dan Diesel”, menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa melancarkan Skim 1Sarawak 1Harga di Rh Jembat Dalang, Bintulu pada 20 Julai, 2009.

Semua harga barangan keperluan diselaraskan di seluruh negeri menjelang akhir tahun ini manakala di Bintulu ia dikuatkuasakan serta-merta dengan majlis pelancarannya.

Penguatkuasaan penyeragaman harga di bawah Skim “1Sarawak 1Harga” itu perlu bagi memastikan penduduk luar bandar tidak lagi menanggung beban dan juga kos untuk datang ke bandar bagi mendapatkan barangan keperluan pada harga yang lebih rendah. Pada masa ini penduduk di pedalaman terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang sangat banyak untuk pengangkutan sungai selain dibebankan dengan harga barangan yang mahal. Oleh yang demikian, penyeragaman harga barangan keperluan di negeri ini akan mengutamakan penduduk luar bandar yang menggunakan pengangkutan sungai atau tidak dapat dilalui dengan jalan darat.

Langkah kerajaan melaksanakan Skim 1Sarawak 1Harga merupakan usaha murni Kerajaan Barisan Nasional di bawah kepimpinan sekarang dalam merealisasikan Konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.


Sumber : Utusan Borneo 21 Julai 2009

No comments: