Monday, September 22, 2008

KEKALKAN TRADISI PERALIHAN KUASA

Pada Julai lepas, YAB Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Badawi mengumumkan pelan peralihan kuasa antara beliau dengan timbalannya YAB Datuk Seri Najib Tun Razak akan dilaksanakan pada Jun 2010. Ketika itu ramai rakyat Malaysia tertanya-tanya adakah Pak Lah akan mengotakan janjinya atau hanya bersendiwara kerana ada agenda lain yang terselindung di sebaliknya.

Setelah tiga bulan berlalu, Pak Lah tetap kekal dengan pelan peralihan kuasa yang telah dipersetujui oleh Jawatankuasa Kabinet serta pucuk pimpinan BN termasuk MT UMNO. Sekali lagi ketetapan beliau menimbulkan rasa tidak puas hati dan kurang selesa di kalangan sesetengah pihak yang mungkin mempunyai agenda tersendiri. Selain membuat berbagai andaian dan menyifatkan tempoh peralihan kuasa itu terlalu lama banyak pihak termasuk ahli-ahli pembangkang mahupun di kalangan Pemimpin BN tidak senang hati sehingga rakan-rakan sepejuangan dalam UMNO turut melenting dan bercadang untuk menentang Pak lah dalam Pemilihan Presiden UMNO yang akan diadakan Disember nanti.

Berikutan senario politik serta perkembangan semasa yang sedang dialami oleh Negara dan kepimpinan sekarang maka pasti ramai rakyat Malaysia agak kurang pasti; apakah yang sebenarnya ingin dilakukan oleh Pak Lah sekarang? Adakah “swaping” kementerian itu petanda awal beliau telah memulakan proses penyerahan kuasa pucuk pimpinan atau sekadar untuk memperkukuhkan lagi kedudukan beliau sebagai Ketua Kerajaan? Teka-teki tersebut tidak mungkin akan terjawab tanpa meneliti dan menghayati segala perkembangan yang berlaku serta dihadapi Negara kita sejak kebelakangan ini lebih tepat lagi selepas pilihanraya umum ke-12 yang lalu.

Pada hakikatnya, pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional sekarang sangat kukuh dan mampu meneruskan agenda pembangunan Negara setelah mendapat mandat yang kuat melalui sokongan yang padu daripada rakyat semasa pilihanraya Umum Ke-12 yang lalu. Apa yang berlaku sekarang adalah manifestasi sentimen politik kehampaan puak pembangkang serta individu-individu yang tidak dapat diterima rakyat menerusi proses demokrasi. Oleh yang demikian, kerajaan tidak seharusnya memberi layanan atau mengikut paluan gendang pihak pembangkang kerana langkah tersebut pasti akan mengundang padah dan cenderung menyerlahkan lagi kelemahan kerajaan. Kerajaan sepatutnya meningkatkan usaha bagi mengukuhkan lagi keyakinan rakyat dengan melaksanakan rancangan pembangunan Negara. Dalam pada itu rakyat juga haruslah memberi sokongan penuh kepada usaha dan langkah kerajaan dalam menguruskan pembangunan Negara. Kesedaran dan sokongan padu seluruh rakyat terhadap segala langkah dan tindakan kerajaan adalah sangat penting bagi membolehkan kerajaan melaksanakan segala program dan rancangan pembangunan untuk kebaikan rakyat.

Saya sangat setuju dengan pendapat kebanyak para pemimpin BN yang menyokong tindakan Pak Lah mengekalkan pelan peralihan pucuk pimpinan pada pertengahan Tahun 2010 seperti yang telah dipersetujui oleh MT BN dan UMNO tiga bulan yang lepas. Tempoh tersebut dianggap wajar untuk memberi peluang secukupnya kepada YAB Datuk Seri Najib membuat segala persediaan sebelum mengambilalih tampuk pimpinan kerajaan. Pada masa yang sama YAB Datuk Seri Abdullah juga memerlukan masa untuk mengukuhkan keadaan dalam Negara termasuk masalah politik yang berlaku dalam UMNO dan BN sebelum menyerahkan kuasa sepenuhnya kepada Datuk Seri Najib untuk memimpin Negara.

Pada 17 September lepas kita telah melihat dan mendengar bahawa Perdana Menteri bersama timbalannya sekali lagi mengulangi persetujuan mereka untuk melaksanakan peralihan pucuk pimpinan Negara pada 2010. Bahkan Pak Lah sendiri memberi jaminan serta berharap proses peralihan kuasa dapat dilakukan lebih awal dengan licin dan lancar. Keikhlasan kata-kata Perdana Menteri dibuktikannya dengan menyerahkan portfolio kementerian yang paling penting dalam kerajaan kepada orang harapannya untuk menggalas tanggungjawab yang sangat berat bagi menentukan masa depan ekonomi rakyat dan pembangunan Negara. Manakala portfolio Menteri Pertahanan yang telah dipegang oleh Datuk Seri Najib diambilalih sendiri oleh Pak Lah.

Sebagai rakyat Malaysia yang cintakan perpaduan, kesejahteraan dan pembangunan saya melihat pelan peralihan kuasa dan tindakan Pak Lah membuat pertukaran portfolio yang amat penting itu sebagai langkah yang bijak serta berpandangan jauh untuk kepentingan Negara dan rakyat Malaysia. Sektor ekonomi sebagai bidang yang sangat penting perlu diuruskan dengan baik terutama dalam keadaan dunia kini yang sedang mengalami kelembapan. Dengan pertukaran porfolio itu, kita berharap Datuk Seri Najib akan dapat memberi sepenuh tumpuan serta menggunakan segala pengalamannya untuk menarik banyak pelaburan untuk membangunkan ekonomi di Negara ini. Kita juga berharap agar pihak pembangkang khususnya DSAI berhenti mengganggu pentadbiran kerajaan kerana ia boleh membantutkan segala usaha dan program pembangunan untuk rakyat dan negara kita.

Pada hakikatnya, Datuk Seri Najib pasti mampu melaksanakan tugas sebagai Menteri Kewangan dengan cemerlang kerana beliau berkelulusan dalam bidang ekonomi selain mempunyai pengalaman menjadi Menteri Besar Pahang sebelum dilantik memegang beberapa portfolio Menteri Persekutuan termasuk Kementerian Belia dan Sukan, Menteri Pelajaran dan Menteri Pertahanan. Jadi pertukaran portfolio Kementerian Kewangan dengan Perdana Menteri membolehkan beliau mendalami lagi urusan pentadbiran Negara. Ini sangat penting bagi membolehkan beliau menentukan dasar kewangan dan fiskal yang terbaik untuk Negara. Kita percaya, berdasarkan pengalaman Datuk Seri Najib yang telah lama dalam kabinet dan pernah menjana ekonomi rakyat dan Negara melalui FELCRA dan FELDA, beliau bakal membantu memulihkan keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu ke tahap yang stabil dan lebih tinggi.

Dalam pada itu langkah YAB Perdana Menteri membuat pertukaran portfolio juga harus dipuji kerana ia merupakan satu proses biasa untuk menyerahkan tanggungjawab secara ikhlas dalam menghadapi keadaan sekarang sebelum beliau melepaskan kepimpinan negara kepada penggantinya. Tindakan beliau mengambilalih Kementerian Pertahanan boleh meringankan beban Datuk Seri Najib bagi memberi lebih tumpuan sepenuh masa kepada jawatan barunya dalam memperbaiki ekonomi negara ke tahap yang lebih tinggi. Selain dari itu, dengan memegang portfolio pertahanan yang agak ringan membolehkan Pak Lah memberi tumpuan kepada hal-hal penting lain khususnya bagi menstabilkan keadaan politik dan masalah isu sosial dan perpaduan di Negara kita.

Rakyat Malaysia tidak seharusnya mempersoalkan peralihan kuasa pucuk pimpinan Kerajaan kerana ia telah diputuskan oleh Majlis Tertingi UMNO dan juga JK Kabinet. Isu ini juga tidak seharusnya dimanipulasikan oleh mana-mana pihak khususnya di kalangan ahli UMNO kerana semua itu hanya akan menguntungkan pihak pembangkang dan musuh negara. Percayalah, pengekalan tradisi peralihan kuasa ketua pemimpin Negara adalah manifestasi ketuanan Orang Melayu dan UMNO sekaligus berupaya membantu memelihara dan mengukuhkan lagi semangat perpaduan serta keyakinan rakyat Malaysia. Pelan peralihan kuasa yang terancang telah bermula dan kita diyakini prosesnya akan berjalan lancar dari semasa ke semasa. Ini membuktikan Pak Lah benar-benar ikhlas dan komited dalam melaksanakan pelan peralihan kuasa secara teratur mengikut tradisi Pemimpin Negara. Bahkan sekarang sudah ramai pihak yang berani membuat ramalan bahawa proses peralihan kempimpinan Negara akan berlaku sebelum pertengahan tahun 2010 iaitu lebih awal dari yang dirancang. Sedarilah bahawa semua ini akan dilakukan dari hati sanubari seorang pemimpin negara yang tulus ikhlas serta sentiasa ingin melihat bangsa dan negaranya Malaysia yang tercinta terus maju cemerlang, gemilang dan terbilang.

Hidup Pak Lah...!!!! Terima kasih Datuk Seri Najib atas kesabaran, kegigihan serta pengorbanan kepada bangsa dan Negara Malaysia.



SUARA RIMBA

No comments: