Wednesday, September 17, 2008

Hari Kemerdekaan - Hari Malaysia

Sebagai rakyat Malaysia, kita harus bersyukur dan merasa bangga kerana sentiasa hidup aman damai walaupun terdiri daripada berbagai ras, suku kaum yang berlainan sosio-budaya dan agama. Keharmonian rakyat Malaysia jelas terpancar apabila rakyatnya yang mengamalkan berbagai pegangan hidup sama-sama menyambut pelbagai perayaan agama dan budaya dalam suasana muhibah dan mesra. Jesteru tidak dinafikan bahawa sambutan perayaan Hari Kemerdekaan atau Hari Kebangsaan dan perayaan-perayaan yang lain dianggap sangat penting dan terbukti berupaya memupuk semangat toleransi serta kesefahaman bagi mengukuhkan lagi perpaduan dan integrasi nasional di kalangan rakyat Malaysia. Kita sedia maklum bahawa perayaan Hari Kebangsaan sentiasa disambut dengan rasa penuh muhibah dan kemesraan oleh masyarakat majmuk di seluruh Negara. Oleh yang demikian semua pihak seharusnya berfikiran terhadap positif terhadap uasaha kerajaan ke arah mengukuhkan lagi semangat perpaduan dengan lebih padu di kalangan rakyat Malaysia yang terdiri dari berbagai keturunan serta berbeza sosio-budaya dan agama.

Malaysia menyambut hari Kebangsaan pada 31 Ogos setiap tahun sekaligus bagi memperingati tarikh keramat seluruh Tanah Melayu dibebaskan daripada jajahan demi mencapai kemerdekaannya pada 31 Ogos 1957. Tiada piohak yang boleh menafikan bahawasanya seluruh rakyat Malaysia termasuk rakyat Sabah dan Sarawak sangat menghargai jasa dan bakti para pejuang kemerdekaan yang telah berjaya membebaskan tanah air kita dari penjajahan. Lantaran, tujuan utama menyambut Hari Kemerdekaan ialah untuk memperingati serta menghargai jasa para pejuang tanah air sekaligus dapat menyemai semangat patriotik dan kebanggaan yang berterusan di kalangan generasi masa kini serta generasi akan datang.

Namun begitu, penubuhan Negara Malaysia yang sebenarnya telah berlaku apabila penyatuan seluruh negeri di Semenanjung bersama Sarawak dan Sabah adalah pada 16 September, 1963. Lantaran sambutan perayaan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos amatlah mengelirukan bagi rakyat Malaysia khususnya rakyat di Sarawak dan Sabah. Kedua-dua tarikh tersebut telah menarik perhatian rakyat Malaysia sama ada di kalangan para pelajar, tokoh sejarah mahupun pemimpin Negara sehingga perkara tersebut pernah diangkat serta dijadikan isu dan tongkat politik oleh sesetengah pihak.

Dalam pada itu, kita juga tidak wajar menghalang keinginan rakyat untuk menyambut serta merayakan hari yang amat penting dalam penubuhan Negara kita. Rasionalnya, enam tahun selepas pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957, negara ini mulai dikenali sebagai Negara Malaysia. Tarikh keramat 16 September 1963 menyaksikan pembentukan sebuah negara Persekutuan Malaysia yang berdaulat dan bebas merdeka. Pada hari tersebut seluruh rakyat Malaysia, dari Perlis hingga ke Sabah, tidak kira keturunan atau agama, sama ada Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban mahupun Orang Asli telahpun bersetuju untuk hidup bersama di dalam keadaan aman damai sejahtera. Kita amati keharmonian rakyat dan kemajuan Negara sejak 45 tahun yang lepas tidak mungkin terlaksana dan mustahil untuk dikecapi tanpa penubuhan Persekutuan Malaysia pada 16 September, 1963. Maka, Hari Malaysia pastinya sangat bermakna untuk seluruh Rakyat Malaysia untuk kita memperingat sejarah tanah air selain menyemarakkan lagi semangat patriotisme ke arah memperkasakan perpaduan rakyat dan kemakmuran Negara.
Sebagai rakyat sebuah negara yang demokratik dan progresif, kita harus peka dan mencari titik serta premis-premis yang wajar untuk mengukuhkan lagi semangat perpaduan demi menyemarakkkan semangat kemerdekaan di sanubari setiap rakyat pelbagai kaum dan wilayah di Negara kita. Demi kepentingan Negara, pandangan dan cadangan mengisytiharkan September 16 sebagai Hari Malaysia haruslah diberi perhatian yang sewajarnya. Kita pasti Hari Malaysia memberi makna dan erti yang sangat besar kepada setiap rakyat Malaysia memandangkan Negara Malaysia ditubuhkan pada 16 haribulan September 1963. Kita percaya bahawa Hari Malaysia akan disambut dengan penuh rasa muhibah dan semangat kemerdekaan oleh setiap rakyat Malaysia tanpa mengira ras, wilayah atau negeri setiap tahun di seluruh Negara.
Kepada para pemimpin Negara khasnya ahli politik, sedarilah bahawa operasi yang bermotif politik sudahpun berakhir pada 8 Mac yang lalu. Proses demokrasi perlu dihormati dan segala ego peribadi atau hasrat parti yang tidak terlaksana perlu dihentikan segera buat seketika demi kepentingan rakyat dan masa depan Negara. Setiap rakyat Malaysia yang cintakan tanahair seharusnya bertekad untuk menjunjung jaminan yang termaktub di dalam Perlembagaan bagi memastikan Negara dan rakyat Malaysia berdaulat, sentiasa merdeka, makmur sejahtera selama-lamanya.

SUARA RIMBA

No comments: