Tuesday, December 9, 2008

JARINGAN KESELAMATAN SOSIAL

Rakyat Malaysia harus berterima kasih kepada Kerajaan dan menyambut baik penjelasan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) YB Noriah Kasnon berhubung KPWKM dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang sentiasa prihatin terhadap kebajikan rakyat serta membantu golongan yang memerlukan pelbagai bantuan. Keputusan Kerajaan menaikkan had kelayakan pemberian penerima bantuan di bawah Jaringan Keselamatan Sosial yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri semasa pembentangan bajet 2009 pada 29 Ogos 2008 (daripada RM400 kepada RM720 di S. Malaysia, RM830 di Sarawak dan RM960 di Sabah dan Labuan) merupakan komitmen Kerajaan BN yang sangat tinggi terhadap golongan yang kurang bernasib baik dan sewajarnya diberi pujian oleh seluruh rakyat Malaysia.


Pelbagai pihak melihat program Jaringan Keselamatan Sosial sebagai suatu pendekatan yang sangat progresif jika tugas tersebut dilaksanakan secara project-based dan holistik. Apa yang ingin dilihat oleh rakyat sekarang ialah ketelusan dan kecekapan KPWKM dan JKM dalam menguruskan liputan dan penyampaian perkhidmatan kepada semua lapisan masyarakat di peringkat akar umbi dan daerah masing-masing.


Oleh yang demikian, pihak Wakil Rakyat, Penghulu, Ketua Kampung ataupun NGOs haruslah memainkan peranan mereka bersungguh-sungguh, telus dan bersikap adil kepada golongan yang benar-benar layak dan memerlukan bantuan. Pihak KPWKM dan JKM juga perlu menjalankan siasatan (means-tested) dan tapisan rapi bagi semua permohonan sebelum membuat pengesahan kelayakan untuk pertimbangan kelulusan.


Semua pihak harus memberi kerjasama sepenuhnya kepada KPWKM dan JKM bagi memastikan hasrat kerajaan untuk membantu rakyat miskin dan benar-benar memerlukan pembelaan dan bantuan dapat dilaksana. Segala maklumat, permohonan dan aduan yang berkaitan boleh disalurkan kepada pihak KPWKM , JKM atau melalui Talian NUR-15999

No comments: